Wednesday, July 30, 2008

Tahun 2008, 'TAHUN MEDIA'

Adakah anda tahu bahawa tahun ini, iaitu tahun 2008 merupakan tahun media. Tentu ada diantara anda yang sedia maklum dengan maklumat ini. Apapun, melalui pembacaan saya merujuk kepada sebuah majalah mingguan untuk mendapatkan maklumat ini. Agak menarik juga untuk kita bincangkan mengenai topik ini.

Apa tidaknya, jika anda seorang yang peka dengan dunia media, sudah pasti anda salah seorang yang merasai bahangnya, lebih-lebih lagi semasa Pilihan Raya Umum ke-12 lalu. Penggunaan media cukup hebat, baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang. Masing-masing tidak melepaskan peluang untuk menyebarkan maklumat tertentu untuk memastikan rakyat mendapat maklumat yang tepat dan terkini. Tak kurang juga ada pihak yang mengambil kesempatan.

Peranan ‘Blogspot’ misalnya banyak digunakan dalam menyampaikan sebarang maklumat kepada pengguna. Jika dahulu ramai diantara kita tidak ambil kisah dengan peranan media ini, tapi kita boleh lihat sekarang, bukan mereka yang mahir dalam bidang IT sahaja yang mampu memiliki Blog, malah anda juga mampu memilikinya, baik secara percuma mahupun membinanya sendiri. Mahu dengan tidak saja!

Memandangkan ini tahun media, maka saya juga tidak ketinggalan untuk bersama-sama yang lain untuk memanfaatkannya. Dengan peranan media yang besar, sudah pasti ia mampu memberi kesan dalam hidup anda. Malah melalui media juga boleh mengangkat dan menjatuhkan seseorang. Sebagai contohnya, seseorang artis boleh menjadi terkenal dengan menyiarkan gambarnya atau kejatuhan sesuatu produk atau individu berlaku akibat membongkarkan keaibannya.

Oleh itu, media jangan sekali-kali kita bermain dengannya, jangan memperkecilkannya, jangan memperlekehkannya, sebaliknya kita gunakan peluang yang ada untuk tujuan yang bermanfaat kepada masyarakat. Kepada mereka yang membuka perniagaan walau sekecil manapun produk anda, gunakanlah media sebagai satu medium untuk anda memperkenalkannya kepada orang ramai. Jika anda memiliki sebarang produk mahupun berniaga sesuatu pastikan anda meletakkan iklan di dalamnya untuk memperkenalkan perniagaan atau produk anda secara meluas.

Ramai juga kita dengar peniaga-peniaga mengeluh kerana perniagaan mereka mulai merosot, tetapi mereka tidak menyedari bahawa peniaga lain sudah melangkah jauh dengan menggunakan platform media. Maka dengan itu, jangan tunggu lagi dan cuba cari jalan untuk menggunakan media dan tempat pengiklanan untuk meningkatkan prestasi anda.

Membuka perniagaan adalah satu langkah baik dan membuka ruang mempromosikan perniagaan adalah satu langkah bijak kerana perniagaan anda bakal berkembang dengan meluas. Jangan anda mengatakan produk anda tidak layak untuk ditempatkan dalam internet atau dalam ruangan iklan yang lain. Sebaliknya, carilah peluang ini untuk lebih berjaya.
Tahukah anda bahawa ruangan blogspot adalah percuma? Cuma mungkin anda kekurangan idea kreatif untuk mencipta ruangan iklan yang berkesan, itu anda tak perlu risau, anda boleh dapatkan nasihat dan khidmad tersebut kepada mereka-mereka yang pakar dalam bidang tersebut. Malah dalam blog saya sendiripun anda boleh lihat iklan-iklan dan produk-produk pengiklanan, anda juga boleh berbuat demikian dengan mengiklankan produk anda... Apa yang paling penting adalah anda perlu sedar bahawa kuasa media adalah besar dan anda telah membuat satu langkah untuk mengambil peluang ini.

Saya sendiri turut mengambil pendekatan yang sama dengan membina blog ini untuk memanfaatkan peluang media yang ada. Melalui blog ini saya boleh mengadakan perbincangan, forum, soal-jawab, menjana pendapatan, ulasan dan sebagainya. Tidak ada yang salah, sebab blog ini adalah hak peribadi. Terpulang kepada saya untuk memanfaatkannya atau tidak selagi tidak melanggar undang-undang. Bagaimana pula dengan anda? Masih ragu-ragu…

Anda jangan bimbang, sejak awal saya sudah menyatakan bahawa tahun 2008 merupakan tahun media. Bagaimana saya tahu, tahun ini tahun media? Saya tahu tahun ini tahun media melalui saluran media itu sendiri…

Untuk pengetahuan anda, melalui kaedah sains metafizik, tahun 2008 mempunyai angka 2 (iaitu metaforanya adalah suara) dan angka 8 (api atau elektrik), iaitu secara tafsirannya adalah menggunakan suara secara elektronik dengan kata lainnya ialah promosi atau pengiklanan, seperti pengiklanan internet, televisyen dan radio serta media cetak. Kajian kitaran dan pola yang lain pula banyak menunjukkan tahun “8” ada kaitan dengan kekuatan peranan media di dalam tahun-tahun tersebut.

Dengan itu, saya juga tidak ketinggalan dalam tahun 2008 ini untuk menggunakan media secara sepenuhnya. Jika anda bercita-cita untuk berjaya dalam apa-apa bidang sekali pun, maka jangan lepaskan peluang ini. Tahun 2008 adalah tahun media!

Sekian…
Oleh; lokman Hakim

No comments: